" Sah " Solat Jika Terkena Najis Yang Dimaafkan


Assalamualaikum dan Salam Mesra | Untuk memudahkan seseorang itu melaksanakan ibadat solat, adalah perlu dia mengetahui apakah perkara - perkara yang dikategorikan sebagai najis yang dimaafkan.Menurut para ulama mazhab Asy-Syafi‘e, kaedah umum yang boleh dirujuk untuk mengenal pasti najis - najis yang dimaafkan itu ialah suatu perkara yang susah untuk dielakkan daripada terkena atau sebagainya .

Najis dari segi perspektif Islam boleh didefinasikan kepada tiap - tiap benda yang kotor iaitu tidak sah solat sekiranya hadir pada badan, pakaian dan tempat ia mengerjakan solat.Bahagian - bahagian najis terbahagi kepada tiga jenis iaitu najis mughallazah (najis berat) najis mukhaffafah (najis ringan), dan najis mutawassitah (najis sederhana).

- Najis Mughallazah - Berat.
Najis mughallazah ialah najis berat. Najis ini terdiri daripada anjing dan babi serta benda-benda yang terjadi daripadanya.

Cara menyucikan najis mughallazah:

- Bersihkan bahagian yang terkena najis.
- Basuh sebanyak tujuh kali. Sekali daripadanya mesti menggunakan tanah bersih yang dicampur dengan air.
- Gunakan air mutlak untuk membuat basuhan seterusnya (sebanyak enam kali) sehingga hilang bau, warna dan rasa.

Merujuk kepada Keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan 2004-2007 Hukum Melakukan Samak terhadap Najis Mughallazah Menggunakan Sabun Tanah Liat adalah dibolehkan (Muzakarah ke 76 pada 21-23 November 2006) ianya seperti yang tercatat dalam teks keputusan berikut:

"Sabun yang mengandungi unsur tanah liat boleh digunakan untuk melakukan samak najis mughallazah dengan syarat tanah tersebut suci dan peratusan kandungan tanah dalam sabun melebihi daripada bahan-bahan yang lain serta kaedah samak tersebut dilakukan mengikut syarak."

- Najis Mukhaffafah - Ringan.

Najis mukhaffafah ialah najis ringan. Najis mukhaffafah ialah air kencing kanak-kanak lelaki berusia di bawah dua tahun yang tidak makan atau minum sesuatu yang lain selain susu ibu.

Cara menyucikan najis mukhaffafah:

- Basuh bahagian yang terkena najis dan lap.
- Percikkan air di tempat yang terkena najis.
- Lap dengan kain bersih sehingga kering.

- Najis Mutawassitah - Pertengahan.

Najis mutawassitah ialah najis sederhana, iaitu segala sesuatu yang keluar dari dubur/qubul manusia atau binatang, cecair yang memabukkan, bangkai (kecuali bangkai manusia, ikan dan belalang), serta susu, tulang dan bulu dari haiwan yang haram dimakan. Najis mutawassitah terbahagi dua iaitu: "Najis Ainiyah" yaitu najis yang berwujud (tampak dan dapat dilihat), misalnya kotoran manusia atau binatang; dan "Najis Hukmiyah" iaitu najis yang tidak berwujud (tidak tampak dan tidak terlihat), seperti air kencing yang kering.

Cara menyucikan najis mutawassitah:

- Basuh dengan menggunakan air bersih hingga hilang warna, bau dan rasa najis tersebut.
- Basuh sehingga tiga kali dengan air mutlak.

Berikut adalah sebahagian contoh - contoh najis yang dimaafkan seperti mana yang tertera di bawah.

1. Najis yang tidak nampak pada pandangan mata kasar, walaupun ia daripada najis mughallazhah. Umpamanya darah yang terlalu sedikit atau air kencing yang terpercik sama ada pada tubuh badan, pakaian atau tempat bersembahyang yang tidak nampak oleh pandangan mata kasar.

2. Najis yang sedikit seperti darah nyamuk, agas atau kutu yang tidak mengalir. Begitu juga darah yang keluar dari kudis, bisul, jerawat kecil, luka atau nanah pada badan seseorang, pakaian atau tempatnya bersembahyang yang bukan disebabkan perbuatannya sendiri.

Jika darah tersebut keluar disebabkan oleh perbuatannya sendiri, umpamanya membunuh nyamuk yang ada pada bajunya atau memicit kudis atau jerawat sehingga mengeluarkan darah, maka darah tersebut tidak dikira sebagai najis yang dimaafkan.

Darah atau nanah luka yang banyak juga termasuk najis yang dimaafkan dengan syarat, iaitu :

- Darah atau nanah tersebut merupakan darah/nanah dari orang itu sendiri.
- Darah atau nanah itu keluar bukan disebabkan perbuatannya atau disenghajakannya.
- Darah atau nanah yang keluar itu tidak mengalir dari tempatnya, seperti darah yang banyak itu tidak mengalir daripada lukanya.

3. Darah ajnabi iaitu darah orang lain yang terkena pada badan, kain atau tempat bersembahyang dengan kadar yang sedikit dengan syarat najis tersebut bukan dari najis mughallazhah iaitu daripada anjing dan babi. Jika ia berasal dari keduanya atau salah satu dari keduanya, tidaklah ia dimaafkan walaupun hanya sedikit.

Menurut Imam al-Adzra‘ie Rahimahullah bahawa adalah termasuk juga darah yang terpisah daripada badan seseorang itu yang kemudiannya terkena semula padanya sebagai darah ajnabi.

4. Darah yang sedikit yang keluar dari hidung atau darah yang keluar dari bahagian-bahagian tubuh seperti mata, telinga danyang seumpamanya, selain dari jalan tempat keluar najis seperti tempat keluar tahi.

Jika darah keluar dari hidung seseorang sebelum dia melakukan sembahyang dan terus menerus keluar darah tersebut, dalam hal ini jika pendarahan itu diharapkan berhenti dengan keadaan waktu sembahyang yang masih panjang, maka hendaklah ditunggu. Akan tetapi jika sebaliknya, hendaklah dia membersihkan dahulu darah tersebut dan hidungnya (tempat keluar darah tersebut), kemudian menyumbatnya dengan kapas umpamanya dan melapisnya dengan kain jika perlu.

5. Darah yang masih tinggal di tempat lukanya yang keluar hasil dari perbuatan mengeluarkan darah dengan tusukan atau berbekam, sekalipun banyak yang masih tinggal di tempat lukanya.

6. Darah yang keluar dari gusi bila tercampur dengan air ludah sendiri. Sah sembahyang bagi orang yang gusinya berdarah sebelum dicucinya darah tersebut selagi dia tidak menelan air ludahnya ketika di dalam sembahyang.

7. Sedikit tanah tempat laluan seperti jalanraya atau yang seumpamanya yang memang diyakini kenajisannya, dengan syarat najis tersebut tidak jelas di tempat itu dan dia telah pun berusaha untuk mengelak daripada terkena tempat laluan tersebut seperti tidak membiarkan hujung kain terkena tanah tempat laluan tersebut.

Perhatian: Dasar menentukan kadar sedikit atau banyak yang dimaksudkan bagi najis itu ialah merujuk pada adat kebiasaannya, iaitu apa yang dianggap oleh adat kebiasaan sebagai sedikit, maka dikira sebagai sedikit dan begitulah sebaliknya. Jika ada syak darah tersebut banyak atau sedikit, maka dihukumkan sedikit dan dimaafkan.

Sesungguhnya Islam adalah agama yang mengutamakan kebersihan,kerana itu umat Islam diperintahkan untuk memelihara diri dari segala najis sehinggakan suci daripada najis pada tubuh badan, pakaian dan tempat dijadikan sebagai salah satu syarat sah sembahyang. Walau bagaimanapun Islam juga adalah agama yang tidak membebankan umatnya dengan kesukaran. Contohnya pengecualian terhadap najis yang dimaafkan yang tidak menjejaskan kesahihan sembahyang, kerana kesukaran menghilangkannya atau mengelak dari terkena najis tersebut.
Sumber - www.islamituindah.my | Islam Itu Indah - Sesungguhnya Agama Islam Itu Mudah Dan Sederhana.

Dapatkan artikel terkini terus ke inbox email anda :

PENAFIAN ( DISCLAIMER ) : Pelbagai bentuk imej, gambar, artikel, video dan pautan yang terkandung dalam blog ini diambil dari sumber - sumber lain .Oleh yang demikian dengan itu HAK CIPTA / COPYRIGHT dimiliki sepenuhnya oleh pemilik sumber tersebut .

0 Response to "" Sah " Solat Jika Terkena Najis Yang Dimaafkan "

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel