Hukum Makan Dakwat/Pasi Sotong


Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera | Sotong ialah sejenis haiwan laut dalam keluarga Teuthida, yang mengandungi kira-kira 300 spesies. Sotong bertulang satu dan mempunyai lapan lengan serta dua tentakel yang biasanya lebih panjang. Sotong dikelaskan di dalam kumpulan cephalopoda, subclass coleoidea, order teuthida.

Salah satu keistimewaan sotong adalah simpanan dakwat hitamnya. Selalunya sotong memancutkan dakwatnya apabila ia rasa terancam. Jika pancutan dakwatnya terkena mata, ia akan mengakibatkan pandangan kita menjadi kabur dalam beberapa minit. Dalam tempoh berkenaan sotong sudah mampu untuk melarikan dari dari musuhnya. Ada spesies sotong yang mampu mengawal pancutan dakwatnya untuk dilepaskan sedikit demi sedikit secara berulang-ulang.

Menurut saintis, sotong merupakan satu spesies yang boleh digunakan sebagai penunjuk kepada kualiti air laut. Sotong dikatakan tidak boleh hidup di kawasan yang tercemar. Kawasan yang mengandungi sotong menunjukkan kualiti air di kawasan berkenaan adalah baik. Sotong hidup secara berkumpulan dan berpindah randah.

Sotong akan mengikuti pola pergerakan makanannya. Ia akan berhenti di kawasan yang selamat dan mempunyai makanan yang cukup. Sotong juga berhenti di sesuatu lokasi untuk bertelur tetapi tempoh persinggahan berkenaan tidak lama.

Perubahan cuaca terutamanya pemasanan global boleh merencat pertumbuhan dan pembiakan sotong. Sotong dapat mencerna makanannya dengan baik di kawasan sederhana panas. Pertambahan suhu akan merendahkan kemandirian sotong untuk hidup dan membiak. Pemanasan global juga akan menghadkan kewujudan makanannya seperti anak-anak ikan, udang dan ketam.

Hukum Memakan Sotong dan Dakwat / Pasi  , Para ulama telah berbeza pandangan dalam permasalahan ini : Menurut sesetengah ulama mazhab Hanafi, hukum memakan sotong adalah haram kerana sotong bukan tergolong daripada jenis ikan. 

Mereka telah berhujah dengan alasan berikut :

Diqiyaskan habitat sotong sama seperti habitat tikus. Ini kerana habitat sotong memakan segala jenis makanan sama ada yang baik dan kotor di dalam laut sertab kadang-kala dijumpai pasir dan kotoran di dalam badan sotong. Oleh itu, apabila tikus darat diharamkan maka tikus laut (sotong) juga diharamkan.Selain itu, sotong juga mempunyai dakwat hitam yang kotor dan memakan benda kotor jugak adalah haram.

Namun begitu, ia bukan pandangan majoriti mazhab ini, bahkan terdapat sebahagian ulama mazhab Hanafi yang mengharuskan makan sotong. Dalam mazhab al-Syafie pula, hukum memakan sotong adalah HARUS dan ia merupakan sebahagian daripada haiwan laut yang diharuskan untuk dimakan sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu buruan (haiwan) laut”

Sabda Nabi SAW:

أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ، يَقُولُ: سَأَلَ رَجُلٌ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّا نَرْكَبُ البَحْرَ، وَنَحْمِلُ مَعَنَا القَلِيلَ مِنَ المَاءِ، فَإِنْ تَوَضَّأْنَا بِهِ عَطِشْنَا، أَفَنَتَوَضَّأُ مِنَ الْبَحْرِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ»

Maksudnya: “Dari Abu Hurairah berkata; seorang lelaki telah bertanya Rasulullah SAW, katanya: Kami naik kapal laut dan kami bawa air darat sikit sahaja. Jika kami berwudu', kami akan dahaga, apakah boleh kami berwuduk guna air laut? Jawab nabi: airnya suci dan bangkainya pun halal”
(Riwayat Tirmizi, no. 69)

Bagi menjawab persoalan tentang hukum memakan dakwat/pasi sotong, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu Kali Ke Lima Penggal Ke Sembilan yang bersidang pada 7 Disember 2011 bersetuju untuk mengekalkan keputusan fatwa yang telah dibuat oleh Allahyarham Syed Yusuf bin Ali Az-Zawawi (Mufti pada tahun 1953 hingga 1975 ) iaitu dakwat/pasi sotong adalah najis kerana cecair tersebut kotor dan berbau busuk jika dibiarkan lama. Cecair ini juga termasuk dalam kategori bahan kumuhan binatang dan orang yang mempunyai selera yang normal tidak akan memakan cecair (dakwat/pasi) tersebut.

Tarjih :
Tarjih adalah menguatkan salah satu dalil dari dua dalil yang bertentangan terhadap yang lain sehingga dapat diketahui mana yang lebih kuat kemudian diamalkan dan dikesampingkan (ditinggalkan) yang lainnya (yang Iemah)

Setelah melihat kepada pandangan ulama, kami lebih cenderung berpandangan memakan sotong adalah DIHARUSKAN begitu juga dengan pasinya memandangkan ia sebahagian hidupan laut sebagaimana umum nas yang dinyatakan tadi. Dalam konteks pasi sotong, ia didapati sebahagian daripada anggota sotong yang boleh dimakan dan diambil manfaat daripadanya. Ini kerana tiada sebarang nas syarak yang jelas melarang memakannya, maka ia tertakluk kepada asal sebagaimana kaedah Fiqh yang menyebut:

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يقوم الدليل على تحريمه

Maksudnya: “Asal pada sesuatu adalah harus sehinggalah terdapatnya dalil yang mengharamkannya”.

Justeru, masakan sotong bersertakan dakwat/pasi juga merupakan sejenis masakan yang telah sedia maklum menjadi uruf setempat. Oleh itu, ia dikira sebahagian daripada uruf yang diiktiraf pada kaca mata syarak sebagaimana kaedah yang menyebut:

العادة محكمة
Maksudnya: “Adat setempat yang dijadikan sebagai hukum”

Oleh itu, dengan mengambil kira faktor ini, memakan dakwat/pasi sotong bukanlah merupakan sesuatu yang kotor dan menjijikan, malah ia telah menjadi uruf setempat sesebuah masyarakat meskipun tidak diterima oleh masyarakat yang lain.

Dapatkan artikel terkini terus ke inbox email anda :

PENAFIAN ( DISCLAIMER ) : Pelbagai bentuk imej, gambar, artikel, video dan pautan yang terkandung dalam blog ini diambil dari sumber - sumber lain .Oleh yang demikian dengan itu HAK CIPTA / COPYRIGHT dimiliki sepenuhnya oleh pemilik sumber tersebut .

0 Response to "Hukum Makan Dakwat/Pasi Sotong"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel