Mahar / Mas Kahwin adalah Pemberian Wajib Suami kepada Isteri


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera | Mahar berasal daripada perkataan Arab. Di dalam al-Quran istilah mahar disebut dengan al-sadaq, al-saduqah, al-nihlah, al-ajr, al-faridah dan al-‘aqd. Menurut istilah syara’ mahar ialah suatu pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri dengan sebab pernikahan.

Mas kahwin atau mahar adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan,Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

  • " Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu mas kahwin mereka ". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 4 )
  • Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Carilah untuk dijadikan mas kahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi ."( Riwayat Bukhari ).

Mahar Mengikut Negeri .

Perundangan syariah di negara kita adalah di bawah bidang kuasa setiap sultan di setiap negeri seperti yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Ini juga bermakna bahawa perkara-perkara yang berdasarkan perkahwinan adalah berlainan di antara negeri-negeri di Malaysia. Oleh wang mahar yang ditetapkan di setiap negeri adalah berlainan.

Perbezaan Mas Kahwin dan hantaran .

  • - Terdapat perbezaan di antara mas kahwin dan hantaran. Mas kahwin merupakan pemberian wajib, tetapi hantaran lebih merupakan hadiah kepada pihak isteri.
  • - Hantaran adalah tidak wajib dan terpulang kepada pasangan untuk menentukan kadarnya. Tiada kadar minimum hantaran yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Ini berlainan dengan mas kahwin.
  • - Pada keseluruhannya dalam adat Melayu wang hantaran merupakan bantuan bagi pihak isteri untuk belanja kahwin. Ia bertujuan mengurangkan beban isteri dan keluarga isteri dalam membuat persiapan majlis perkahwinan.
  • - Ia juga boleh dianggap sebagai hadiah kepada isteri yang kini bakal menjadi pasangan. Sekiranya wang hantaran telah diserahkan kepada pihak isteri, maka terpulang kepada isteri untuk membelanjakan .

Pemberian mas kahwin / mahar .

  • - Suami sebagai lambang kesungguhan suami terhadap isteri. Selain itu ianya mencerminkan kasih sayang dan kesediaan suami hidup bersama isteri serta sanggup berkorban demi kesejahteraan rumah tangga dan keluarga. Ia juga merupakan penghormatan seorang suami terhadap isteri.
  • - Memberi mahar kepada isteri hukumnya wajib. Menurut Abu Hanifah, isteri berhak mendapat mahar apabila akad nikahnya sah. Manakala dalam mazhab Syafi’e pula diwajibkan mahar bukan disebabkan akad nikah yang sah sahaja tetapi juga dengan persetubuhan. Sekiranya akad nikah tersebut fasid ( tidak sah ), suami tidak wajib memberi mahar kepada isteri melainkan setelah berlakunya persetubuhan.

Kadar mas kahwin / mahar .

  • - Islam tidak menetapkan kadar serta had yang paling maksima dan minima dalam menentukan mahar bagi seorang wanita. Ianya bergantung kepada uruf iaitu keadaan semasa dan suasana sesuatu tempat dan masyarakat. Sungguhpun demikian, Islam menganjurkan agar kita mengambil jalan tengah iaitu tidak meletakkan mahar terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah.
  • - Mas kahwin / mahar itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan mas kahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.

Jenis Mas Kahwin / Mahar .

  • A - Mas Kahwin / Mahar Musamma.
  • - Mas kahwin / mahar yang telah ditetapkan dan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan tidak memandang kepada nilai mas kahwin saudara-saudara perempuan yang lain.

Mahar yang disebut dengan jelas jumlah dan jenisnya dalam suatu akad nikah seperti yang diamalkan dalam perkahwinan masyarakat kita pada hari ini. Ulama’ telah bersepakat bahawa mahar musamma wajib dibayar oleh suami apabila berlaku salah satu daripada perkara-perkara berikut :

  • 1 - Berlakunya persetubuhan di antara suami isteri.
  • 2 - Kematian salah seorang di antara mereka sama ada suami atau isteri.


  • B - Mas Kahwin / Mahar Misil ( mahar yang sepadan ).
  • - Mahar yang dinilai mengikut mas kahwin / mahar saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin lebih dahulu. Ia juga hendaklah dinilai sama dengan mas kahwin keluarganya yang paling dekat sekali seperti kakak, ibu saudaranya. Seterusnya menilaikan keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya. 
  • - Mas Kahwin / Mahar yang tidak disebut jumlah dan jenisnya dalam suatu akad nikah, sekiranya berlaku keadaan ini, mahar tersebut hendaklah diqiaskan ( disamakan ) dengan mahar perempuan yang setaraf dengannya di kalangan keluarganya sendiri seperti adik beradik perempuan seibu sebapa atau sebapa atau ibu saudaranya. Sekiranya tiada, maka diqiaskan pula dengan mahar perempuan-perempuan lain yang setaraf dengannya dari segi kedudukan dalam masyarakat dan sekiranya tiada juga, terpulang kepada suami berdasarkan kepada adat dan tradisi setempat.

Selain daripada itu terdapat perkara-perkara lain yang perlu diambil kira dalam menentukan mahar misil iaitu dari sudut rupa paras, kekayaan, keadaan setempat, keagamaan , ketakwaan, keilmuan, kecerdasan fikiran , keluhuran budi serta status perempuan tersebut sama ada gadis atau janda dan perkara-perkara yang boleh dijadikan penilaian. Ini kerana kadar mahar berbeza dengan berbezanya sifat-sifat di atas.

Mendapat Separuh Mahar Atau Tidak Berhak Mendapat Langsung .

Sebagaimana yang kita sedia maklum , apabila berlakunya suatu akad nikah yang sah, maka wajib bagi suami membayar mahar kepada isteri sama ada berupa mahar musamma atau pun mahar misil kerana ia merupakan hak isteri.

Walau bagaimanapun terdapat keadaan yang menyebabkan isteri hanya berhak mendapat separuh sahaja daripada mahar tersebut atau pun tidak mendapat apa-apa mahar langsung daripada suami iaitu :

  • 1 - Isteri hanya mendapat separuh sahaja daripada mahar apabila berlakunya perceraian sebelum persetubuhan.
  • 2 - Isteri tidak berhak langsung untuk mendapat pemberian mahar daripada suami apabila berlakunya perceraian disebabkan fasakh ( dari pihak isteri ) sebelum berlakunya persetubuhan.

 Sebenarnya mas kahwin / mahar bukan harga bagi wanita atau isteri tetapi pemberian yang selayaknya diberikan oleh suami sebagai tanda dia rela mengambil tanggungjawab menjaganya. Kalaulah wanita itu hendak dinilai dengan harga dan perlu ditawarkan dengan mas kahwin, sudah tentu tidak ternilai dengan wang .

Mahar adalah hak isteri yang diberikan oleh suami dengan hati yang tulus ikhlas tanpa mengharapkan balasan sebagai pernyataan kasih sayang dan tanggungjawab suami atas kesejahteraan rumah tangga. Ianya bertujuan untuk menggembirakan dan menyenangkan hati isteri agar isteri merasa dihargai dan bersedia untuk menjalani kehidupan bersama suami.
Sumber - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dapatkan artikel terkini terus ke inbox email anda :

PENAFIAN ( DISCLAIMER ) : Pelbagai bentuk imej, gambar, artikel, video dan pautan yang terkandung dalam blog ini diambil dari sumber - sumber lain .Oleh yang demikian dengan itu HAK CIPTA / COPYRIGHT dimiliki sepenuhnya oleh pemilik sumber tersebut .

0 Response to "Mahar / Mas Kahwin adalah Pemberian Wajib Suami kepada Isteri"

Catat Ulasan

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel